Taiwan pinda undang-undang gangguan seksual

Setiausaha Agung DPP, Hsu Li-ming (dua dari kiri) dan anggota kanan parti tersebut tunduk pada sidang akhbar sebagai tanda permohonan maaf kepada mangsa yang mendakwa diganggu secara seksual di Taipei pada 2 Jun lalu. - Agensi
Setiausaha Agung DPP, Hsu Li-ming (dua dari kiri) dan anggota kanan parti tersebut tunduk pada sidang akhbar sebagai tanda permohonan maaf kepada mangsa yang mendakwa diganggu secara seksual di Taipei pada 2 Jun lalu. - Agensi
A
A
A

TAIPEI - Taiwan meminda tiga undang-undang berkaitan gangguan seksual dalam sesi khas perundangan selepas gelombang tuduhan #MeeToo melanda pulau itu pada Jun.

Perubahan yang diluluskan awal minggu ini termasuk penalti lebih tinggi serta tempoh lebih lama untuk mangsa tampil ke hadapan dan melaporkan insiden kepada pihak berkuasa.

Ia adalah percubaan untuk menangani isu tuduhan keganasan seksual yang dibangkitkan di Taiwan baru-baru ini.

Pindaan baharu itu juga menutup kelemahan tertentu seperti perniagaan kecil dan syarikat yang mempunyai kurang daripada 30 pekerja tetapi lebih 10 individu boleh menyediakan mekanisme untuk melaporkan gangguan seksual.

Perniagaan kecil sebelum ini dikecualikan daripada keperluan sedemikian.

Di bawah undang-undang tempat kerja, majikan kini boleh didenda sehingga NT$1 juta (RM143,592) jika mereka gagal menangani aduan gangguan seksual.

Majikan juga dikehendaki melaporkan kes kepada bahagian tempatan jabatan buruh mereka.

Undang-undang pendidikan yang dipinda pada Jumaat lalu secara jelas melarang pendidik menjalinkan hubungan percintaan dengan pelajar di bawah umur 18 tahun.

Selanjutnya, pengetua dan guru yang gagal melaporkan kepada Kementerian Pendidikan dakwaan gangguan seksual dalam tempoh 24 jam boleh didenda.

Taiwan ketika ini mempunyai tiga undang-undang berkaitan gangguan seksual: satu di tempat kerja, satu di sekolah dan satu lagi meliputi sfera di luar kedua-dua domain tersebut.

Pergerakan #MeeToo Taiwan dihidupkan semula pada Mei lalu apabila seorang wanita muda yang bekerja untuk parti pemerintah, Progresif Demokratik (DPP) menuduh pengarah filem, Hsueh Chao-hui meraba dan melakukan perbuatan seksual yang tidak diingini.

Mangsa, Chen Chien-jou secara terbuka membuat tuduhan tersebut dan selepas itu lebih ramai wanita tampil ke hadapan mengaku menjadi mangsa gangguan seksual ahli politik.

Pergerakan #MeeToo turut menyaksikan ramai wanita dalam industri hiburan dan institusi pendidikan menyuarakan pengalaman menjadi mangsa gangguan seksual. - Agensi