Norza buat kejutan, letak jawatan Presiden BAM hujung tahun ini

Mohamad Norza - Foto Bernama
Mohamad Norza - Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan untuk meletak jawatan kerusi nombor satu badan induk tersebut pada hujung tahun ini.

Pengumuman tersebut menyaksikan Mohamad Norza akan melepaskan jawatan lebih awal selepas beliau pada 15 Julai lalu mengumumkan akan meninggalkan BAM selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Mohamad Norza berkata, beliau ketika ini sudah mempunyai beberapa calon berpotensi yang mampu menggalas tugas mengganti tempatnya menerajui BAM.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan calon yang dikenal pastinya untuk meneruskan legasi tampuk kepimpinan BAM.

"Saya sudah berbincang dengan beberapa pihak, individu berkenan mesti lebih baik daripada saya, memahami sukan dengan baik, cukup bersemangat untuk memegang jawatan presiden tanpa ganjaran.

"Calon berkenaan must berusaha gigih ke arah memenuhi harapan rakyat dan peminat badminton,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, beliau juga telah menyerahkan nama calon yang berpotensi untuk mengambil alih jawatannya kepada ahli majlis BAM.

Mohamad Norza pada sama masa menjelaskan keputusannya tiada kaitan dengan kemelut yang melanda antara BAM dengan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek yang ditamatkan kontrak lebih awal susulan kegagalan di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, bulan lepas. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

BAM, Misbun berpisah cara baik

Misbun sedia akur keputusan BAM

BAM pertahan tindakan 'lepaskan' Misbun

Misbun dedah punca ditamat kontrak

Misbun luah rasa terkilan terhadap Norza