KKR belanja RM73.45 juta selenggara jalan berlubang

Nanta pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maju Expressway Sdn Bhd, Lebuhraya MEX di sini pada Rabu.
Nanta pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maju Expressway Sdn Bhd, Lebuhraya MEX di sini pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah membelanjakan RM73.45 juta setakat enam bulan pertama tahun ini bagi kerja penyelenggaraan jalan persekutuan seluruh negara termasuk membaiki jalan raya berlubang.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, selain itu peruntukkan berkenaan membabitkan penyelenggaraan perabot jalan seperti tiang lampu dan pembahagi jalan.

Katanya, peruntukan yang sudah dibelanjakan itu adalah sebahagian daripada RM217.8 juta yang diperuntukkan kerajaan menerusi peruntukan My Jalan bagi kerja-kerja berkenaan.

"Sebanyak 2,950 jalan berlubang sudah dibaiki sehingga 30 Jun lalu, jenis perabot jalan yang diselenggara adalah 'guardrail', papan tanda, garis jalan yang pudar, longkang dan pembentungan serta kerja pemotongan pokok.

"KKR sedang merangka kempen My Jalan merangkumi usaha untuk mengatasi pelbagai isu utama seperti jalan, lampu jalan, perabot jalan dan sebagainya.

"Kita mahu berkempen berorientasikan tindakan berlandaskan konsep 'action speaks louder than words'," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa mengadakan lawatan bagi memantau pengujian Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), di sini, pada Rabu.

Katanya, bagi memudahkan aduan berkenaan jalan rosak dibuat, pihak KKR sedang menaiktaraf aplikasi khas untuk sistem aduan sedia ada.

"Aplikasi itu dapat memberikan di mana lokasi tepat isu jalan rosak yang dihantar oleh pengadu," ujarnya.

Mengulas lanjut tujuan kempen My Jalan, Nanta berkata, ia untuk meningkatkan penglibatan semua pihak terutama pemain industri, agensi kerajaan dan swasta serta rakyat sendiri dalam usaha menjaga jalan raya dan infrastruktur yang berkaitan.

"Aduan awam juga digalakan dan kementerian sedang berusaha menyediakan satu saluran aduan one stop center yang dapat memudahkan dan melancarkan proses aduan, ia akan dilancarkan juga melalui kempen ini," katanya.