Amelia Henderson percaya keputusan mahkamah

Amelia Henderson
Amelia Henderson
A
A
A

PELAKON Amelia Henderson meluahkan rasa bersyukur apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan permohonan maafnya kepada penerbit filem dan drama A Aida kerana melanggar kontrak penggambaran sebuah drama, tahun lepas.

Ujar Amelia atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson, dia sejujurnya tidak meletakkan sebarang harapan atau jangkaan daripada keputusan mahkamah.

Namun dalam masa sama berterima kasih dengan apa jua keputusan yang dibuat daripada badan kehakiman itu.

“Saya tidak meletak sebarang harapan sejujurnya daripada keputusan mahkamah. Bagaimanapun saya tetap bersyukur.

“Apa pun, saya cuma harapkan hasil yang paling adil untuk semua pihak bila saya buat keputusan untuk teruskan kes ini di mahkamah,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Amelia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas bersama Amelia di Tetuan Fernandez & Selvarajah di Petaling Jaya, pada Rabu.

Dalam pada itu, mengulas komen segelintir pihak yang menyifatkan Amelia degil kerana tetap dengan keputusannya meneruskan kes ini, pelakon filem Pulau itu mempunyai sebab tersendiri berbuat demikian.

Jelas Amelia, dia tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menghancurkan kerjaya yang dibina seumur hidupnya.

“Saya nampak ramai yang memberikan komen dengan mengatakan saya degil dan sombong. Itu yang mereka katakan kepada saya apabila saya memilih untuk meneruskan kes ini.

“Saya tahu, kalau orang lain, mungkin mereka tidak akan memilih jalan ini. Namun berbeza buat saya. Saya sudah bekerja di dalam industri ini sejak 27 tahun yang lalu.

“Apabila ada yang mempersoalkan mengenai kerjaya yang sudah saya berikan sepenuh jiwa dan raga, saya agak sebak. Sudah tentu saya mengambil berat tentang kerjaya saya,” ujarnya.

Terdahulu, Hakim Zulqarnain Hassan ketika menyampaikan keputusannya dalam talian berkata mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan permohonan Amelia, 28, untuk menggantung perintah permohonan maaf kepada kepada A Aida menerusi syarikatnya A Aida Production Sdn Bhd susulan rayuan kes itu.

Berhubung perintah pembayaran ganti rugi, Zulqarnain turut membenarkan penangguhan bayaran melebihi RM200,000 itu. Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan agar wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman yang mewakili syarikat produksi itu dan Amelia.

Pada 7 April lepas, Zulqarnain memerintahkan pelakon berdarah kacukan India-Scotland itu membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A Aida menerusi syarikatnya kerana didapati melanggar kontrak penggambaran drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Hakim itu turut membenarkan permohonan A Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama terhadapnya selain pelakon itu perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagramnya @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April lalu.

Pada 18 April lepas, Amelia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan rayuan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 24 Oktober ini.

Pada prosiding hari ini, syarikat produksi itu diwakili peguam Ashmadi Othman manakala Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur.

Pada 28 Julai 2022, A Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama tersebut walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!