Bina semula Batu 3 jadi bandar daya huni - Danial

Danial Al Rashid Haron
Danial Al Rashid Haron
A
A
A

SHAH ALAM - Kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu 3 perlu dibina semula bagi menjadikan ia sebagai sebuah bandar dengan daya huni yang boleh dirasai oleh semua pihak.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Batu 3, Danial Al Rashid Haron berkata, untuk merealisasikan impian itu, kawasan berkenaan perlu mendapatkan sentuhan daripada perancang bandar yang berpengalaman.

Menurutnya, Batu 3 boleh dibangunkan dengan baik kerana ia berada di dalam salah satu DUN di Parlimen Shah Alam yang merupakan ibu negeri Selangor.

“Kebanyakan pembangunan di kawasan ini (Batu 3) terutamanya pangsapuri kos rendah yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah melebihi 30 tahun dan sudah tiba masanya kita lakukan pembangunan semula.

“Hal ini kerana, konsep bangunan di Seksyen 16 sudah tidak relevan pada ketika ini kerana pangsapurinya hanya memiliki satu atau dua bilik sahaja. Oleh sebab itu saya merasakan, pembinaan semula bagi kawasan perumahan perlu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sinar Live bertajuk Tidak Gentar Lawan Calon 'Heavyweight' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program itu dihoskan Haizir Othman dan turut menampilkan calon DUN Batu 3 daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Cheda Razak.

Mengulas lanjut, Danial yang juga Ketua Pemuda PH Selangor memaklumkan bahawa beliau mahu Batu 3 menerima peruntukan sama seperti Kota Anggerik yang mana penempatan itu dibina secara terancang dan baik kerana kawasan tanah baharu.

Tambahnya, Shah Alam sering dikenali sebagai sebuah bandaraya dalam taman dan untuk didiami, beliau mahu kelebihan yang diterima di Kota Anggerik juga dirasai penduduk di Batu 3.

Danial berkata, beliau hanya mahu menyentuh kepada aspek sosial yang mahukan pembukaan lebih banyak taman dan pusat masyarakat kerana ia merupakan platform yang menghubungkan penduduk tempatan.

“Jadi dengan adanya pusat komuniti, secara tidak langsung masyarakat dapat memimpin kumpulan itu dan membina penduduk yang lebih baik ke hadapan.

“Jadi saya harap ada satu pelan jangka panjang, yang mana kita boleh berbincang dengan majlis bandaraya untuk rangka semula rancangan tempatan supaya Shah Alam dapat dibina secara bersama,” ujarnya.

Pada masa sama, Danial berkata, cabaran bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) adalah memastikan penanda aras yang telah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) terdahulu, Rodziah Ismail dapat dicapai dengan segera.

Katanya, Rodziah telah memberi perkhidmatan yang baik sehinggakan rata-rata masyarakat tempatan mengharapkan penggantinya menunjukkan prestasi sama atau lebih baik.