215 kes tipu tawaran kerja dalam talian di Selangor

Sebanyak 215 kes penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian di rekodkan di Selangor melibatkan kerugian RM16.46 juta bermula Januari hingga Julai lepas. - Gambar hiasan 123RF
Sebanyak 215 kes penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian di rekodkan di Selangor melibatkan kerugian RM16.46 juta bermula Januari hingga Julai lepas. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 215 kes penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian di rekodkan di negeri ini melibatkan kerugian RM16.46 juta bermula Januari hingga Julai lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataan berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 82.3 peratus berbanding 38 kes dengan RM660,127.63 kerugian dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata, modus operandi penipuan tersebut ialah mangsa menerima pesanan ringkas melalui Telegram atau WhatsApp membabitkan tawaran kerja sambilan daripada nombor telefon tidak dikenali.

"Mangsa kemudiannya diminta menekan pautan yang diberikan melalui aplikasi itu sekiranya berminat, misalnya https://www.intercambio39.cc/mobile dan perlu mendaftar nama pengguna serta kata laluan sebelum memulakan tugas.

"Tugas pertama membeli barangan di platform e-dagang dengan modal yang kecil dan suspek akan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun sindiket. Bagi menyakinkan, mangsa akan mendapat pulangan komisen mengikut jumlah yang dijanjikan iaitu antara 10 dan 30 peratus,” katanya.

Hussein berkata, mangsa akan diminta menyelesaikan tugasan seterusnya dengan jumlah pembelian lebih besar dan akhirnya mereka menyedari ditipu apabila tidak mendapat peratus keuntungan seperti yang dijanjikan.

"Jun lepas, terdapat satu kes penipuan melibatkan bekas pengurus teknologi maklumat berusia 62 tahun yang kerugian RM1.8 juta dengan mangsa melakukan 110 kali pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank berbeza.

"Wanita itu mendapat pulangan seperti yang dijanjikan pada tugasan pertama dan kedua, namun untuk yang berikutnya bermula 13 Jun hingga 27 Julai dia telah melakukan 110 kali pindahan wang bagi tujuan melengkapkan tugasan tetapi tidak menerima pulangan komisen yang dijanjikan.

"Mangsa menyedari ditipu setelah suspek masih meminta bayaran untuk melengkapkan tugasan seterusnya dan membuat laporan polis di Petaling Jaya,” katanya. - Bernama