X

Kindly register in order to view this article
!

10 maut, puluhan cedera serangan masjid di Pakistan

Anggota pasukan keselamatan Pakistan memeriksa lokasi kejadian di luar sebuah masjid Sufi di bandar Lahore, Pakistan, serangan hari ini mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan 24 yang lain.
A
A

LAHORE - PAKISTAN. Kira-kira 10 orang maut manakala 24 lagi cedera susulan serangan bunuh diri di salah sebuah masjid Sufi tertua di Pakistan yang terletak di bandar Lahore, hari ini.

Kumpulan militan Taliban Pakistan dilaporkan mengaku bertanggungjawab terhadap insiden yang terjadi berhampiran pagar masuk pengunjung wanita di Masjid Data Barbar, salah satu masjid Sufi terbesar di Asia Selatan.

Masjid yang selama ini menjadi lokasi majlis keraian Sufi, pernah menjadi sasaran serangan militan sekali gus mencemarkan hari ketiga Ramadan. Pada 2010, berlaku serangan bunuh diri di masjid tersebut dengan meragut lebih 40 nyawa.

Sejak itu, kawalan keselamatan di kawasan terbabit dipertingkatkan dan pengunjung harus melepasi pelbagai peringkat pemeriksaan sebelum dibenarkan memasuki premis berkenaan.

Bercakap dalam satu sidang media, pegawai kanan polis, Muhammad Ashfaq berkata, berkemungkinan anggota keselamatan di masjid tersebut menjadi sasaran, namun motif sebenar insiden masih lagi disiasat.

Ketua Menteri Wilayah Punjab, Usman Buzdar berkata, tiga pegawai polis, dua pengawal keselamatan dan lima orang awam termasuk seorang kanak-kanak menjadi korban serangan terbabit.

Usaha Pakistan membendung keganasan dipertingkatkan ekoran serangan terburuk ke atas sebuah sekolah di Peshawar pada 2014 yang membunuh lebih 150 orang kebanyakannya kanak-kanak, namun kumpulan militan dilihat masih mampu melancarkan serangan maut. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!