RUU EECA dibentang di Parlimen pada Oktober - Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) pada sidang Parlimen akan datang yang dijadual bermula 9 Oktober ini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebaik sahaja ia berkuat kuasa, EECA akan menjadi rangka kerja perundangan dan kawal selia yang menggalakkan kecekapan tenaga di negara ini.

"Ia akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen tahun ini. Kami berharap sekurang-kurangnya ia diselesaikan hingga bacaan kedua,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Bangunan Hijau Antarabangsa 2023 di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata, draf RUU EECA telah diusahakan sejak beberapa tahun lepas dan pada Mac lepas dilaporkan ia berada di peringkat kajian dan akan dimuktamadkan sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara serta dibentangkan kepada Kabinet.

"Ia komponen penting untuk objektif sifar-bersih (pelepasan sifar bersih) kita kerana sifar bersih bukan sahaja bermaksud tenaga boleh diperbaharui (RE), tetapi ia juga kecekapan tenaga (EE).

"Apabila anda lebih cekap anda akan menggunakan kurang tenaga dan kurang keperluan untuk membina loji kuasa yang baharu, yang merupakan bahagian penting dalam persamaan (keseimbangan antara jumlah gas rumah hijau (GHG) yang dihasilkan dan jumlah yang disingkirkan daripada udara),” katanya.

Beliau berkata, RUU EECA merupakan pemangkin penting kerana negara lain telah mempunyai beberapa bentuk perundangan kecekapan tenaga.

"Kami telah berusaha keras untuk ia akhirnya dibentangkan di Parlimen,” kata Nik Nazmi.

Menurutnya, RUU itu dikaitkan dengan daya saing komersial dan perindustrian, manfaat kepada keselamatan tenaga dan alam sekitar seperti pengurangan pelepasan karbon. - Bernama