Muktamadkan penurunan kuasa pendidikan, kesihatan kepada Sabah - Hajiji

Hajiji menyampaikan anugerah cemerlang kepada salah seorang pelajar pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha Kota Kinabalu.
Hajiji menyampaikan anugerah cemerlang kepada salah seorang pelajar pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan keputusan penurunan kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan kepada negeri itu seperti yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sistem pendidikan Sabah akan terus maju seiring dengan perkembangan di Semenanjung jika autonomi diberikan lebih kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, penurunan kuasa yang tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan akan lebih memudahkan kerajaan negeri melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan di samping pelantikan dalam perjawatan perguruan seperti yang diharapkan oleh rakyat negeri ini.

"Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan kepercayaan kerajaan Persekutuan kepada jentera kerajaan negeri khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini.

"Kita yakin dengan adanya autonomi ini, kerajaan negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu yang berkaitan pendidikan di negeri ini.

"Dalam hal ini, pegawai di peringkat negeri mempunyai pengetahuan yang lebih baik mengenai masalah rakyat di kawasan sendiri. Dengan itu, kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu masalah rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha pada Selasa.

Tambah Hajiji, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM35 juta pada tahun 2022 bagi melaksanakan beberapa inisiatif dalam pendidikan untuk memperkukuhkan dan melahirkan modal insan di negeri ini.

"Pada tahun ini pula sebanyak RM43 juta telah disediakan oleh kerajaan negeri dalam Belanjawan 2023 untuk tujuan yang sama.

"Inisiatif ini berupa bantuan tunai pendaftaran institut pengajian tinggi (IPT), Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), bantuan peperiksaan, anugerah kecemerlangan, sumbangan peralatan sekolah, komputer riba dan bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, inisiatif yang diberikan itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan memberikan penekanan kepada peningkatan peluang pendidikan inklusif untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.