Bas elektrik mulakan operasi di Taiping

Kah Woh (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik Pelancaran Tiket EV Bas MPT bersama Khairul Amir (tiga dari kanan) di hadapan Zoo Taiping & Night Safari pada Selasa. - Foto: MAJLIS PERBANDARAN TAIPING
Kah Woh (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik Pelancaran Tiket EV Bas MPT bersama Khairul Amir (tiga dari kanan) di hadapan Zoo Taiping & Night Safari pada Selasa. - Foto: MAJLIS PERBANDARAN TAIPING
A
A
A

TAIPING - Bas Elektrik Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memulakan operasi secara rasmi kepada orang awam bermula pada Selasa.

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, perkhidmatan bas tersebut beroperasi dengan tiga perjalanan sehari melibatkan tiga hentian mengikut masa yang ditetapkan.

Menurutnya, laluan Bas Elektrik MPT itu melibatkan laluan Jejak Warisan di sekitar Bandar Taiping sejauh 11.5 km dengan setiap perjalanan mengambil masa 1 jam 21 minit dan disediakan Pemandu Pelancongan bagi memberi penerangan lokasi Jejak Warisan.

"Bas ini akan berhenti di tiga lokasi selama 10 minit yang melibatkan Galeri Perbandaran, Menara Jam dan Raintree Walk (Taman Tasik Taipung. Kita pasti pengguna akan merasai perjalanan dan suasana berbeza. Ini salah satu penambahbaikan dan produk pelancongan baharu oleh MPT.

"Kita mengalu-alukan kepada orang ramai yang berkunjung ke Bandar Taiping menggunakan bas EV ini sebagai satu pengalaman baharu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tiket Kenderaan Elektrik (EV) Bas MPT di hadapan Zoo Taiping & Night Safari di sini pada Selasa.

Hadir menyempurnakan pelancaran tersebut, Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.

Khairul Amir berkata, harga tiket ditetapkan RM20 bagi dewasa manakala RM10 dikenakan bagi warga emas, pelajar, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) bagaimanapun diskaun sebanyak 30 peratus diberikan bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember 2023.

Menurutnya, bas menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya itu disumbangkan oleh Kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan boleh membawa penumpang maksimum seramai 22 orang.

Sementara itu, Kah Woh berkata, pengenalan Bas Elektrik MPT itu merupakan langkah yang baik dalam merancakkan sektor pelancongan di Bandar Taiping.

Menurutnya, tarikan baharu itu juga sangat signifikan menjelang sambutan ulang tahun ke-150 Bandar Warisan Taiping yang akan disambut pada tahun hadapan.