MATTA Fair kembali, tawaran pakej lebih menarik

Wendy (tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa MATTA Perak dan pengendali pelancongan ketika mempromosikan MATTA Fair Perak yang bermula pada 12 dan 13 Ogos ini.
Wendy (tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa MATTA Perak dan pengendali pelancongan ketika mempromosikan MATTA Fair Perak yang bermula pada 12 dan 13 Ogos ini.
A
A
A

IPOH - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak kembali dengan tawaran pakej lebih menarik di Pusat Konvensyen Ipoh pada 12 dan 13 Ogos ini.

Penganjuran edisi ke-31 itu bakal disertai lebih 29 penggiat industri pelancongan melibatkan lebih 100 reruai pameran pelancongan dari dalam dan luar negara.

Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin berkata, pameran pelancongan terbesar itu turut disertai Tourism Perak dan Tourism Pahang bersama industri pelancongan lain.

"Bagi pelancongan domestik, banyak pilihan destinasi ditawarkan yang memenuhi tarikan budaya, warisan, alam semula jadi, taman negara, aktiviti air dan udara.

"Memandangkan banyak negara telah dibuka untuk menerima kehadiran pelancong, maka lebih destinasi dapat diberikan dalam pameran kali ini terutama melibatkan negara Asia seperti China, Viertnam, Jepun dan Taiwan, negara-negara Eropah dan Amerika," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MATTA Cawangan Perak di sini pada Selasa.

Wendy berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran seramai 20,000 pengunjung dengan nilai jualan keseluruhan RM23 juta sepanjang dua hari pameran yang dibuka dari 10 pagi hingga 9 malam.

Tambah Wendy, pihaknya juga yakin pameran itu akan menjadi penanda aras dalam usaha memulihkan kembali industri pelancongan selain menyumbang ke arah pertumbuhan positif industri tersebut.

"MATTA Fair akan terus memainkan peranan menjadi platform sehenti kepada orang ramai untuk memilih destinasi percutian impian dengan mudah menerusi pelbagai pakej ditawarkan pengendali pelancongan berlesen dan berpengalaman," katanya.

Perasmian akan disempurnakan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee pada 13 Ogos.

Seperti biasa, pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM300 pada pameran ini layak menyertai cabutan bertuah dan memenangi pelbagai hadiah menarik seperti baucar hotel, tiket penerbangan pergi balik dan pelbagai lagi.

Orang ramai boleh melayari dan mengikuti perkembangan MATTA Fair Perak menerusi laman Facebook rasmi iaitu facebook.com/mattaperak untuk mendapatkan maklumat terkini.