Warga emas, pelajar Tingkatan 5 maut motosikal bertembung

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian dalam kemalangan di KM19, Jalan Bota Kiri, Tanjung Belanja, Parit pada Isnin. - Foto Media Sosial
Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian dalam kemalangan di KM19, Jalan Bota Kiri, Tanjung Belanja, Parit pada Isnin. - Foto Media Sosial
A
A
A

IPOH - Seorang warga emas dan pelajar sekolah maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam satu kejadian di KM19, Jalan Bota Kiri, Tanjung Belanja, Parit pada Isnin.

Kejadian yang berlaku jam 7 malam itu melibatkan seorang warga emas, Jaafar Halid, 64, menunggang motosikal jenis Honda Dash, manakala seorang lagi mangsa merupakan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah Parit, Iman Harith Othman, 17, menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang Honda Dash dari arah Tanjung Belanja ingin pulang ke rumahnya di Kampung Tua, manakala sebuah lagi motosikal ditunggang seorang remaja dari arah Bota Kiri ke Tanjung Belanja.

"Apabila sampai di simpang rumahnya, penunggang motosikal jenis Honda Dash tiba-tiba membelok ke kanan menyebabkan penunggang motosikal jenis Yamaha LC yang bergerak lurus tidak sempat membrek lalu melanggar warga emas tersebut.

"Disebabkan kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kedua-kedua mangsa juga tidak memakai topi keledar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kejadian kemalangan itu turut tular di Twitter.
Kejadian kemalangan itu turut tular di Twitter.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Mohd Yusri menasihati semua penunggang motosikal agar sentiasa berhati-hati, memakai topi keledar dengan betul serta mematuhi peraturan dan undang-undang.

Kejadian kemalangan tersebut turut tular di media sosial yang menunjukkan keadaan kedua-dua mangsa di lokasi.

Menerusi rakaman video dan gambar yang tular itu, salah seorang mangsa berada di dalam parit, manakala seorang lagi terbaring di atas jalan dengan dikerumuni oleh orang ramai.