'Berita baik LTdL 2023 kembali dalam kalendar UCI'

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) dan Abu Samah (tiga dari kanan) ketika Majlis Pelancaran LTdL 2023 di Putrajaya bulan lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) dan Abu Samah (tiga dari kanan) ketika Majlis Pelancaran LTdL 2023 di Putrajaya bulan lalu.
A
A
A

PERKHABARAN gembira diterima dari bumi Glasgow, Scotland apabila perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 kembali disenaraikan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Berita baik itu disampaikan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill kepada Sukan Sinar pada tengah malam tadi.

Malah, Amarjit turut memaklumkan mengenai perkara itu dalam satu kenyataan media selepas beliau selesai menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UCI.

Bagi Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab, beliau jelas sekali gembira apabila telah dimaklumkan LTdL 2023 kembali berada dalam kalendar UCI.

“Saya nak kongsi berita baik, LTdL sudah ada kembali dalam kalendar UCI. Terima kasih kepada Datuk Amarjit atas usahanya meyakinkan pihak UCI,” kata Abu Samah kepada Sukan Sinar lewat malam tadi.

Status penganjuran LTdL 2023 mencetuskan tanda tanya sejak beberapa hari lalu susulan perlumbaan berstatus ProSeries itu tidak lagi diletakkan dalam kalendar UCI.

Situasi itu mencetuskan kegelisahan ramai pihak terutamanya PKBM selaku badan induk berbasikal negara dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang diberikan tanggungjawab sebagai penganjur LTdL 2023.

Terdahulu, dalam kenyataan medianya, Amarjit berkata, UCI bersetuju meletakkan kembali LTdL 2023 dalam badan induk itu berkuat kuasa serta-merta.

“Terus-terang saya sangat lega apabila LTdL kembali disenaraikan dalam kalendar UCI kerana ia melibatkan nama baik dan imej Malaysia khususnya termasuk komuniti berbasikal di seluruh dunia.

“Ada tanggungjawab berat di bahu saya untuk memastikan ia (LTdL kembali dalam kalendar UCI) berjaya dilakukan dan saya bersyukur semuanya telah selesai sekarang,” ujar Amarjit.

LTdL 2023 yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September depan, membabitkan lapan peringkat perlumbaan yang merentasi 11 negeri di semenanjung Malaysia.

Edisi ke-23 itu melibatkan jarak keseluruhan sejauh 1,280 kilometer (km) - bermula di Kerteh, Terengganu dan kemuncaknya di Kuala Lumpur.