Perbadanan PR1MA puji keputusan kerajaan

PR1MA
PR1MA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memuji keputusan kerajaan untuk meneruskan program perumahan itu, yang bermatlamat untuk membina rumah berkualiti dan mampu milik di kawasan bandar serta pinggir bandar, khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana (M40).

Bagi memenuhi mandat dan menyesuaikan diri kepada keadaan pasaran, PR1MA sedang mengambil langkah transformasi dan sedang ke arah pemulihan yang berjaya, kata agensi perumahan awam itu dalam satu kenyataan hari ini sebagai respons kepada pengumuman terbaharu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mahu meneruskan PR1MA tetapi tumpuan dialih kepada kumpulan M40 dan bukannya B40 (berpendapatan rendah) seperti sebelum ini.

Transformasi perniagaan itu adalah sebahagian daripada strategi untuk memastikan bahawa organisasi berkenaan diselaraskan dengan agenda perumahan kerajaan.

Usaha wajar sedang dibuat dan dijangka akan dimuktamadkan pada bulan depan.

Pada April lepas, Zuraida berkata, ada kemungkinan skim PR1MA akan dimansuhkan kerana kelemahan dalam pengurusan dan dilaporkan bahawa PR1MA yang menyasarkan pembinaan sehingga 500,000 rumah menjelang akhir tahun, hanya berjaya menyiapkan setakat 11,484 rumah sahaja.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Mohd Nazri Md Shariff berkata, sebagai sebuah entiti kerajaan, PR1MA adalah komited untuk memastikan obligasinya dengan pihak berkepentingan termasuklah para pembeli dihormati.

"Pada masa yang sama, kami akan memulakan langkah transformasi yang akan membolehkan PR1MA untuk memaksimumkan keberkesanan usaha perubahan yang sedang berlaku dalam organisasi bagi meningkatkan perniagaan dan operasi kami" katanya.

Sambutan terhadap pembangunan PR1MA masih terus positif daripada bakal pembeli rumah.

Artikel Berkaitan:

Malah, melalui Kempen Pemilikan Rumah (HOC 2019), PR1MA telah mencapai tempahan jualan rumah sekitar 10,200 dengan nilai jualan sebanyak RM2.56 bilion dalam kurang daripada tiga bulan selepas pelancaran HOC, katanya.

Terdahulu, program-program bantuan perumahan oleh kerajaan hanya ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah dan ini menyebabkan separuh daripada isirumah berpendapatan sederhana di Malaysia tidak mampu membeli rumah di pasaran utama.

Oleh yang demikian, PR1MA ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi pemangkin yang menyediakan rumah berkualiti yang mampu milik kepada golongan berpendapatan M40 di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Di samping itu, projek-projek pembangunan PR1MA juga mempunyai kesan sampingan berganda dalam ekonomi tempatan kerana ia membantu untuk mewujudkan nilai ke atas tanah sambil membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat.

"Ini dan pelbagai inisiatif-inisiatif lain sedang di dalam perancangan kami, selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat," kata PR1MA.

Ia akan kekal fokus bagi membina rumah serta pembangunan yang mampu menciptakan kehidupan komuniti yang harmoni kepada pemilik rumah, dengan ciri-ciri serta kemudahan-kemudahan yang sesuai untuk kehidupan moden Malaysia seperti dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, surau, pusat jagaan dan kolam renang.

Sekarang ini, sejumlah 43,137 unit PR1MA sedang dalam pembinaan. - Bernama