MBI Kedah lapor polis, nafi dakwaan Saifuddin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Satu laporan telah diterima oleh polis Kedah berkenaan dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadap Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah pada petang Ahad.

Jurucakap polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, laporan tersebut dibuat oleh seorang wanita yang merupakan Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran di perbadanan tersebut.

Menurutnya, laporan dibuat menafikan dakwaan Saifuddin yang tular dalam media sosial pada 27 Julai menyatakan seorang lelaki warganegara China bekerja dengan MBI Kedah.

"Laporan tersebut dibuat oleh pengadu pada jam 5.27 petang yang bekerja selaku Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI Kedah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Saifuddin dalam siri ceramah sebelum ini beberapa kali mendakwa kononnya terdapat lelaki warganegara China yang dibawa masuk dan diambil bekerja dengan MBI bagi projek unsur nadir bumi (REE).

Dalam perkembangan lain, Alzafny berkata, polis Kedah tidak menerima sebarang laporan mengenai ucapan menyentuh perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R).

"Secara keseluruhannya terdapat 59 ceramah di seluruh Kedah semalam iaitu 10 melibatkan Barisan Nasional (BN), lima Pakatan Harapan (PH), 38 Perikatan Nasional (PN) dan enam bebas.

"Setakat ini Kota Setar merekodkan jumlah ceramah terbanyak iaitu 13, diikuti Kulim (tujuh), Baling (enam) dan Kubang Pasu (lima)," ujar beliau.