Perak FC masih cari rentak 'bunuh' lawan

Kapten Perak, Luciano Guaycoche mengasak pemain Sri Pahang ketika aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad. - Foto FB Sri Pahang FC
Kapten Perak, Luciano Guaycoche mengasak pemain Sri Pahang ketika aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad. - Foto FB Sri Pahang FC
A
A
A

PERAK FC mengakui masih mencari rentak dan keserasian pemain yang boleh 'membunuh' pasukan lawan sehingga menyebabkan pasukan itu tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Ahad.

Penolong ketua Jurulatih Perak, V Saravanan berkata, banyak peluang untuk menjaringkan gol disia-disiakan pemain, namun berpuas hati dengan persembahan perlawanan itu.

Beliau turut menyifatkan kekalahan menentang Sri Pahang sehingga gagal mendapat mata disebabkan nasib tidak menyebelahi mereka.

"Boleh juga (kalah) dengan nasib tapi kita kena ada kualiti yang boleh 'membunuh' dan mencipta peluang itu.

"Semua ini masih dalam proses dan kita perlukan banyak perancangan untuk mencari keserasian dan rentak kerana setiap minggu ada kecederaan, ubah posisi (pemain), jadi ia memerlukan sedikit masa (dapatkan rentak dan keserasian)," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur pada malam Ahad.

Enggan terus kecewa dengan kekalahan itu, Saravanan menegaskan prestasi yang ditampilkan pemain Perak cukup membanggakan pasukan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kesungguhan pemain dapat dilihat apabila mereka berhempas pulas untuk mendapat gol menerusi beberapa peluang keemasan.

"Kita mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Saya puji dengan kesungguhan pemain terutama daripada segi sikap, tenaga dan gaya permainan yang menunjukkan peningkatan.

"Kalau begini persembahan, saya yakin kita akan dapat lebih baik dari masa akan datang," katanya.

Pada perlawanan petang Ahad, Kpah Sherman menafikan impian Perak apabila penyerang import daripada Sri Pahang menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan.

Kekalahan itu meletakkan skuad Seladang berada di kedudukan ke-11 liga dengan mengutip 13 mata daripada 18 perlawanan