Sabah bawa pulang tiga mata dari Bandaraya

Antara aksi menarik perlawanan Liga Super, Penang FC menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya pada Ahad. - FOTO MFL
Antara aksi menarik perlawanan Liga Super, Penang FC menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya pada Ahad. - FOTO MFL
A
A
A

SABAH FC membawa pulang bekalan tiga mata berharga selepas menundukkan Penang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang pada Ahad.

Babak pertama menyaksikan, skuad The Rhinos selaku pelawat terlebih dahulu membolosi gawang Penang seawal minit kesembilan selepas bola yang disepak Ramon Machado de Macedo terkena kaki Irfan Fazail dan melantun masuk ke dalam gol tuan rumah.

Sabah terus menambah duka anak didik Manzoor Azwira Abdul Wahid apabila menggandakan kedudukan hasil tandukan Ramon selepas menerima hantaran lintang pemain kelahiran England, Daniel Ting pada minit ke-47.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Kumbang yang cuba bangkit melakukan serangan balas berhasil menembusi benteng The Rhinos, apabila Muhammad Alif Anuar Ikmalrizal yang membuat larian jauh sebelum melakukan sepakan penyudah selepas menerima hantaran Muhammad Hadin Azman pada minit ke-76.

Asakan demi asakan dilakukan kedua-dua pasukan untuk mencari gol tambahan hingga ke wisel penamat dan keputusan kekal 2-1 memutlakkan kemenangan buat Sabah.

Kemenangan itu sekali gus mengubat luka skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang tewas 0-1 semasa menentang Selangor FC minggu lepas namun kekal berada di tangga kelima liga dengan mengutip 36 mata manakala Penang kekal di tangga ke-10 dengan 19 mata. - Bernama