Universiade: Tammy pahat sejarah raih emas sulung Malaysia

Tammy raih pingat emas acara qiangshu wanita Universiade ke-31 di Chengdu, China pada Ahad.
Tammy raih pingat emas acara qiangshu wanita Universiade ke-31 di Chengdu, China pada Ahad.
A
A
A

SEJARAH tercipta apabila kontinjen Malaysia akhirnya berjaya membawa pulang pingat emas pertama temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade).

Lakaran sejarah itu dicipta atlet wushu, Tammy Tan Hui Ling yang menamatkan penantian Malaysia dengan meraih emas acara qiangshu wanita Universiade ke-31 di Chengdu, China pada Ahad.

Kejayaan bersejarah Tammy itu menyaksikan Malaysia mengakhiri kemarau kilauan emas hampir 38 tahun sejak penyertaan di pentas Universiade 1985 di Kobe, Jepun.

Dianggap suatu keajaiban di bumi Chengdu, kejayaan itu pastinya menggembirakan peminat sukan tanah air khususnya seluruh warga Institusi Pendidikan Tinggi.

Dalam saingan di Gymnasium Chengbei, Chengdu itu, Tammy yang kecewa dalam acara jianshu sebelum ini bangkit untuk merangkul emas bersejarah dengan catatan 9.613 mata.

Pingat perak dimenangi atlet Macau, Weng Ian Wong yang merekodkan 9.593 mata, manakala gangsa milik Hui Yu Lydia Sham dari Hong Kong selepas mengutip 9.583 mata.

Lebih membanggakan, kejayaan Tammy menyambar kilauan emas itu melengkapkan sasaran tiga pingat buat kontinjen Malaysia pada temasya Universiade kali ini.

Terdahulu, skuad wushu negara meraih dua pingat gangsa menerusi Calvin Lee Wai Leong dalam acara nangun lelaki dan Mandy Cebelle Chen (taijiquan wanita).

Mandy muncul penyumbang pingat pertama Malaysia pada Sabtu sebelum Calvin mengikut jejak langkah sama dengan menyambar kilauan gangsa pada Ahad.