Pelajar PhD dakwa temui spesies kerang pupus 40 tahun lalu

Tangkap layar video yang dimuat naik pelajar tersebut di TikTok pada Sabtu menunjukkan spesies kerang atau kijing air tawar yang dipercayai telah pupus 40 tahun lalu.
Tangkap layar video yang dimuat naik pelajar tersebut di TikTok pada Sabtu menunjukkan spesies kerang atau kijing air tawar yang dipercayai telah pupus 40 tahun lalu.
A
A
A

PEKAN - Seorang pelajar doktor falsafah (PhD) bidang genetik dan ekologi ikan paya gambut mendakwa telah menemui spesies kerang atau kijing air tawar di sebuah sungai di Pahang di sini yang dipercayai telah pupus 40 tahun lalu.

Menerusi sebuah klip video berdurasi empat minit lapan saat yang dimuat naik di akaun TikTok Azamuddeennasir, pelajar berkenaan memberitahu singgah ke kampungnya di Pekan dan menunjukkan lokasi spesies tersebut ditemui.

"Spesies ni saya jumpa dan sudah disahkan pakar kerang. Nama spesies ni ensidens ingallsianus ialah spesies kijing air tawar. Di kawasan ini saja, dulu taburan sangat luas, tapi entah kenapa pupus di Sungai Pahang dan kawasan lain.

“Jadi kawasan ni saya saja ‘explore’, masuk dalam raba-raba (tangan dalam air) dapat spesies dan kerang lainlah. Tapi kita fokus ensidens ingallsianus atau kijing biji nangka orang Pekan panggil,” katanya.

Mengakui teruja dengan penemuan tersebut, pelajar itu memberitahu spesies kijing air tawar yang pupus itu telah dibuat kajian dan bancian teliti di seluruh Malaysia, namun tidak menjumpainya.

“Alhamdulillah, saya datang sini dan saya ingatkan kijing biasa. Saya tanya sahabat saya Mohd Affendi Marzuki di Unimas (Universiti Malaysia Sarawak), ‘eh ensidens ingallsianus yang dah pupus’.

“Saya syok gila, jadi saya ambil beberapa spesimen dan saya awetkan. Saya hantar ke pakar iaitu Dr Alexander yang merupakan pakar kijing air tawar di Malaysia.

“Jadi kita akan buat DNA analisis, nak buatkan kertas kajian berkenaan kijing ni. Keadaan kijing ini berbentuk memanjang, bujur mengecil dan ia tidaklah besar mana, paling besar pun mungkin boleh besar jari saya kot," kata pelajar tersebut.

Katanya lagi, difahamkan terdapat 19 spesies kijing air tawar dan satu daripadanya ialah pendatang dari China.

"Selalu nampak dan pernah masak (spesies dari China) tapi tak sedap langsung. Yang ini (ensidens ingallsianus) saya masak hari tu, saya tak tahu dah pupus. Tapi memang sedap dan bila dapat tahu dah pupus, alamak (rasa bersalah).

“Penemuan ini adalah rekod baharulah setelah 40 tahun spesies ni pupus dan kita jumpa, alhamdulillah. Seronoklah nanti kita buat kertas kajian,” tambah lelaki tersebut.

Dalam pada itu, dia menjelaskan spesies kerang sangat sensitif kepada perubahan air serta memerlukan ikan untuk melengkapkan kitaran pembesarannya.

“Apabila bertelur, telur akan melekat pada insang atau sisip ikan. Jadi apabila spesies ikan itu pupus, maka akan pupus (kijing). Itu yang kita syak, sini mungkin ada ikan itu, kita tak tahu sebab kajian kerang air tawar di Malaysia sangatlah kurang,” ujarnya.

Menerusi penerangan pada video itu juga memberitahu ensidens ingallsianus mempunyai taburan luas di Semenanjung Malaysia suatu ketika dahulu dari sempadan Thailand hingga ke Kuala Pahang di selatan.

Bagaimanapun, ia dipercayai pupus di Malaysia selama 40 tahun mengikut tinjauan yang mendalam dengan rekod terakhir ialah pada tahun 1977 di Tasik Chini.

Sementara itu, pelbagai reaksi netizen terhadap penemuan spesies itu dan mengharapkan lokasi penemuan itu dirahsiakan demi masa depan spesies tersebut selain mendakwa ada menemuinya di lokasi masing-masing.