10,000 calon tidak duduki SPM sudah daftar peperiksaan ulangan

Fadhlina dan Sivakumar (dua kanan) semasa hadir ke Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Aimst University pada Ahad.
Fadhlina dan Sivakumar (dua kanan) semasa hadir ke Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Aimst University pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 10,000 calon yang tercicir atau tidak hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini telah berdaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut secara ulangan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, berdasarkan data yang diperoleh, jumlah keseluruhan calon SPM yang keciciran ialah seramai hampir 30,000 orang seluruh negara.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan intervensi dan mengenal pasti masalah yang dihadapi calon sehingga menyebabkan mereka gagal menduduki peperiksaan.

"Kita telah melakukan intervensi ke atas 30,000 calon ini, ke mana mereka, kenapa tak hadir, alasan dan sebagainya.

"Alhamdulillah telah dikenal pasti dan 10,000 telah daftar melalui program lanjutan tarikh pendaftaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Aimst University di sini pada Ahad.

Program yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama KPM itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Fadhlina berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti 20,000 calon lagi.

"Jadi ada lagi 20,000 yang sedang dikenal pasti isunya termasuk isu yang disebutkan...ada isu keluarga, isu pekerjaan, keluarga B40 dan sakit yang sedang diberi perhatian.

"Namun, kita ucap tahniah dan rakam penghargaan terima kasih kepada yang telah daftar kerana inilah komitmen kita di samping meningkatkan nilai kemanusiaan melalui peluang melanjutkan pelajaran," katanya.

Sebelum ini media melaporkan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memandang serius terhadap laporan bahawa hampir 30,000 calon tidak menduduki SPM.

Susulan itu, beliau mengarahkan Fadhlina meneliti secara terperinci isu tersebut agar tidak berulang pada masa depan.

Atas saranan itu, KPM membuat keputusan melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM bagi calon persendirian bagi tahun 2023 sehingga 30 Jun lalu.