X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lelaki ditahan miliki pil kuda

Roslan Tahir
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di sebuah rumah di Batu Buruk, di sini, semalam.

Ketiga-tiga mereka berusia 21, 22 dan 29 tahun ditangkap dalam serbuan sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) sempena Ops Tapis, kira-kira jam 12.05 tengah malam.

Ketua JSJN negeri Superintendan Roslan Tahir berkata, semasa tiba di lokasi, didapati ketiga-tiga suspek itu sedang berkumpul di tepi rumah.

"Sejurus menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan semasa proses penangkapan.

"Akibat pergelutan itu, seorang daripada suspek mengalami kecederaan luka di tapak tangan kanan dan kiri, bibir dan siku manakala dua lagi suspek tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Roslan berkata, pemeriksaan ke atas tubuh badan mereka tidak menjumpai sebarang barang salah, bagaimanapun selepas pemeriksaan di lokasi, polis menjumpai satu botol plastik berisi cecair kehitaman disyaki dadah yang disorokkan di dalam peti sejuk di belakang rumah tersebut.

"Seterusnya soal siasat dijalankan ke atas mereka di mana salah seorang daripadanya memberitahu masih ada menyimpan dadah di dalam sebuah bilik di tingkat bawah dalam rumah.

"Berdasarkan maklumat tersebut telah membawa polis ke bilik yang dimaksudkan dan berjaya merampas satu beg kertas berisi dua paket plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi 10 paket plastik warna biru yang terikat dengan gelang getah dan setiap satu paket berisi biji-biji pil disyaki dadah jenis pil kuda.

"Kita juga mendapati di dalam paket lutsinar kedua mengandungi sembilan paket plastik yang setiap satu berisi biji pil disyaki dadah pil kuda," katanya.

Tambahnya, turut dijumpai di dalam bilik tersebut sebuah kotak yang berisi satu unit mesin kira wang dan sekeping pasport sebelum kesemua barang itu dirampas dan dibawa ke pejabat untuk siasatan.

"Jumlah keseluruhan rampasan adalah 3,555 biji pil berwarna merah dan 29 biji pil warna hijau disyaki dadah methamphetamine selain turut dirampas tiga unit telefon bimbit jenis Iphone untuk siasatan lanjut," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!