Kedah tenang himpit Selangor

Ifedayo meraikan KDA ketika berdepan Kuching City pada saingan Liga Super di Stadium Negeri pada Sabtu.
Ifedayo meraikan KDA ketika berdepan Kuching City pada saingan Liga Super di Stadium Negeri pada Sabtu.
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC meneruskan tekanan ke atas Selangor FC bagi pemburuan kelompok dua terbaik Liga Super musim ini.

Anak buah Nafuzi Zain kini memperoleh 37 mata tiga mata di belakang skuad kendalian Tan Cheng Hoe setelah meraih kemenangan 1-0 ke atas Kuching City FC pada Sabtu.

Selangor pula tanpa pemain lincah Faisal Halim yang menjalani penggantungan perlawanan tewas 0-2 kepada pendahulu liga Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Gol jaringan pemain gantian, Heberty Fernandes diikuti sepakan penalti Bergson Da Silva menyaksikan skuad Harimau Selatan melakar kemenangan ke-18 berturut-turut sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pemburuan kejuaraan buat kali ke-10 musim ini.

Dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching itu jaringan Ifedayo Olusegun pada minit ke-39 sudah cukup membolehkan tiga mata dibawa pulang dari bumi kenyalang selain kurang satu perlawanan berbanding Selangor.

Bintang import dari Nigeria itu terus membalas kepercayaan pengurusan KDA apabila menterjemahkan bola sepakan sudut Manuel Hidalgo dalam bentuk gol untuk kemenangan ke-12 liga.

Kemenangan itu mengekalkan momentum positif skuad Kenari yang menewaskan The Cats, 3-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 17 Mac lalu.

Gol skuad Kenari ketika itu telah dijelmakan Mohd Akmal Md Zahir (m-29, m-50) dan Hidalgo (m-59).