Elak lembu, lelaki maut langgar tiang lampu

Mangsa dipercayai cuba mengelak lembu itu. ( Gambar kecil: Muhammad Azril Iqmal Khamis)
Mangsa dipercayai cuba mengelak lembu itu. ( Gambar kecil: Muhammad Azril Iqmal Khamis)
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Padang Kambing, Simpang Ampat, di sini, petang semalam.

Mangsa Muhammad Azril Iqmal Khamis, 23 dipercayai terbabas ke bahu jalan gara-gara mengelak seekor lembu sebelum melanggar tiang lampu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang baharu bekerja di kilang Honda menunggang motosikal Yamaha 135LC, datang dari arah Simpang Ampat menghala ke arah Brisu.

Menurutnya, Sebaik tiba di Jalan Padang Kambing, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang lampu di tepi jalan.

"Impak perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah sebelum dituntut oleh waris mangsa," katanya.

Tambahnya, kemalangan itu berlaku dalam cuaca baik dan menuruni bukit, namun tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: