Rangka kerja Madani bina modal yang baik dalam masyarakat - PM

Anwar (kanan) ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, pada Sabtu. Turut kelihatan, Omar Suleiman. - Foto Bernama
Anwar (kanan) ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, pada Sabtu. Turut kelihatan, Omar Suleiman. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rangka kerja Madani bukan hanya memfokus kepada proses penyelesaian masalah tetapi juga nilai-nilai murni bagi membina moral yang baik dalam kalangan masyarakat.

Berucap pada ‘Majlis Ilmu Madani bersama Perdana Menteri’ di Seri Perdana di sini pada Sabtu, beliau berkata, rangka kerja Madani adalah kaedah terbaik bagi menjana masyarakat yang lebih baik terutama dalam kalangan generasi muda.

"Madani bukan sahaja berkisar mengenai kemampanan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan tetapi juga menggariskan tentang falsafah, nilai-nilai murni serta integriti dari segi membina akhlak yang baik," katanya.

Konsep Malaysia Madani, yang diperkenal oleh Anwar secara rasmi pada 19 Jan lepas adalah berteraskan enam tunjang utama iaitu kemampanan (keMampanan), kesejahteraan (kesejAhteraan), berdaya cipta (Daya cipta), hormat (hormAt), keyakinan (keyakiNan) dan ihsan (Ihsan).

Ketika menzahirkan penghargaan kepada pengasas merangkap Presiden Institut Penyelidikan Islam Yaqeen, Dr Omar Suleiman kerana menyampaikan syarahan Madani, Perdana Menteri menyifatkan beliau sebagai seorang intelektual dan aktivis muda yang diperlukan dalam setiap masyarakat.

"Saya mengikuti setiap syarahan yang disampaikan oleh Omar dan saya rasa suara beliau mampu menyentuh serta mempengaruhi masyarakat," katanya.

Terdahulu, Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyertai 120 jemaah menunaikan solat Maghrib yang dipimpin oleh Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin iaitu Muhammad Hazri Othman sebelum meluangkan masa kira-kira sejam dalam sesi perkongsian ilmu bersama Omar.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Bernama