Tiada istilah kalah

Pemain Perak jalani latihan menjelang aksi bertemu Sri Pahang pada Ahad. - Foto FB Perak FC
Pemain Perak jalani latihan menjelang aksi bertemu Sri Pahang pada Ahad. - Foto FB Perak FC
A
A
A

PERAK FC tidak rela pulang dengan tangan kosong ketika berhadapan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad.

Penolong Jurulatih Perak, Shahrulnizam Mustapa berkata, tiada istilah kalah yang dimahukan pasukan itu biarpun sedar Sri Pahang memiliki kelebihan terutama bermain di laman sendiri.

“Persiapan kita diteruskan macam biasa walaupun kita tidak dapat menurunkan skuad terbaik kerana masalah pengantungan dan kecederaan.

“Namun kalau kita tengok dalam latihan sepanjang minggu ini, pemain faham dengan corak taktikal yang jurulatih Yusri Che Lah mahukan.

“Bagi saya, tiada istilah kalah. Kita sebenarnya pergi sana dengan harapan dapat curi mata dan kita tidak mahu pulang dengan tangan kosong," katanya.

Sebelum ini, Perak FC berjaya menamatkan kemarau kemenangan selepas tujuh perlawanan menewaskan Kuching City FC, 2-1 pada minggu lalu.

Ia sekali gus menjadi tonik berharga kepada pasukan itu untuk cuba meraih lebih banyak keputusan positif dalam perlawanan akan datang.

Dalam pada itu, Shahrulnizam menyifatkan kedatangan beberapa pemain baharu ke dalam pasukan menyuntik lebih banyak elemen positif.

"Kalau kita tengok dengan kehadiran pemain baharu ini terutama pemain import, banyak perubahan positif dalam pasukan.

"Tetapi, saya percaya lebih banyak yang mampu disumbangkan mereka selepas dua atau tiga perlawanan lagi terutama apabila dapat membentuk keserasian dengan pemain sedia ada," katanya.

Skuad The Bos Gaurus itu telah membawa pertahanan import baharu dari Korea Selatan, Youn do Kim, penyerang Serbia, Luka Milunovic dan pemain tengah, Azali Alias.