Siasatan berkaitan isu 3R selesai dalam seminggu - Razarudin

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan berkaitan isu sensitif terutamanya 3R (agama, raja dan kaum) yang dikesan sepanjang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan segera itu diambil bagi mengelakkan berlakunya kelewatan.

"Siasatan segera akan dijalankan sebaik sahaja ada kesalahan berkaitan yang dikesan sepanjang PRN ini, kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya di negeri dan daerah masing-masing untuk tindakan lanjut.

"Langkah ini bagi memastikan setiap kes yang disiasat itu segera dijalankan dan diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Sabtu.

Menurut Razarudin, pihaknya turut mengingatkan semua parti politik yang terlibat dalam PRN ini agar jangan sesekali memainkan isu 3R.

"Saya ingin tegaskan dan mengingatkan semua pihak terlibat agar jangan ada sebarang isu sensitif yang dibangkitkan sepanjang tempoh ceramah dan berkempen.

"Pemantauan akan dijalankan dari segenap medium termasuk media sosial yang mana sekiranya ada ia akan turut disiasat," katanya.

Tambah beliau, semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan perjalanan proses PRN sehingga 12 Ogos ini berjalan lancar.