Kerajaan tidak sekat calon PRN guna media berkempen - Fahmi

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tiada sekatan atau menghalang mana-mana calon pilihan raya negeri (PRN) untuk menggunakan media penyiaran dan media sosial sepanjang tempoh berkempen.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mengalu-alukan media menggunakan platform masing-masing untuk mengadakan wacana serta debat seperti dilakukan Sinar Harian dan Astro Awani.

Menurutnya, Malaysia sebuah negara demokrasi dan semua pihak perlu mengamalkan politik matang termasuk amalan debat berbanding budaya ejek-mengejek dan melempar tohmahan.

"Sekiranya ada pihak ingin adakan debat seperti Sinar Harian yang aktif mengadakan wacana, Astro Awani sedia jadi hos kepada debat Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ini suasana yang sangat positif.

"Semua media dialu-alukan untuk turut terlibat sedia platform masing-masing untuk angkat wacana dan debat ke tahap yang tinggi dan bukan sekadar tempat melempar tohmahan atau ejek-mengejek," katanya ditemui di Pusat Penamaan Calon SMK Sungai Pusu pada Sabtu.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut berharap calon dapat berkempen secara sihat dan elakkan fitnah atau mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati.

"Kita ada hak untuk berpolitik dan ini adalah demokrasi tetapi pada masa sama, kita ada undang-undang dan adab tata susila.

"Jadi peringatan kepada semua untuk elak gunakan elemen 3R (raja, agama, kaum) semasa kempen," katanya.

Katanya, pemantauan akan dilakukan pihak berkuasa termasuk polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kempen berjalan secara aman.

Pada masa sama katanya, pemantauan membabitkan kempen di platform media sosial turut dilaksanakan.

"Baru-baru ini, saya telah bermesyuarat dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk melihat langkah yang perlu dilakukan untuk memantapkan pemantauan terutama isu berkaitan 3R.

"Kita juga telah bekerjasama dengan TikTok dan Meta yang bersedia membantu memastikan undang-undang negara dihormati dan tiada pelanggaran sepanjang tempoh berkempen dan pada masa akan datang," katanya.