20,000 peminjam nikmati manfaat penambahbaikan SJKP

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 20,000 peminjam perumahan khususnya pembeli pertama akan mendapat manfaat berikutan jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion disediakan menerusi penambahbaikan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, menerusi penambahbaikan skim pinjaman itu, kerajaan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus yang akan membolehkan lebih ramai dapat memiliki rumah idaman mereka.

Beliau berkata, SJKP merupakan sebahagian daripada program pembiayaan di bawah kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kewangan bagi membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap memiliki rumah.

"Ini termasuk pekerja ekonomi gig, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil untuk memiliki rumah,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek Rumah Selangorku oleh Kumpulan Berjaya di Subang pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada Khamis, mengumumkan SJKP akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai hingga RM300,000.

Anwar berkata, jaminan pembiayaan itu akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung menerusi pinjaman, termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai.

Sementara itu, Kor Ming berkata, berdasarkan data SJKP sehingga 31 Januari lepas, sebanyak 6,808 pinjaman pembiayaan diluluskan di bawah skim berkenaan dan daripada jumlah itu 65.11 peratus atau 10,945 pemohon yang berjaya adalah dalam julat umur 35 tahun ke bawah. - Bernama