Polis Marin rampas 24,100 liter diesel di Sibu

Zulkipli
Zulkipli
A
A
A

SIBU - Polis Marin Wilayah lima Sibu merampas kira-kira 24,100 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM177,620 dalam serbuan terhadap dua stor, di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, dalam serbuan pada jam 9.30 pagi itu, polis turut menjumpai dua kenderaan Toyota Hilux dan lori serta diesel disyaki disimpan tanpa lesen dan permit sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

"Pemeriksaan di kedua-dua stor telah menjumpai kira-kira 24,100 liter diesel yang disimpan di dalam dua tong. Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM177,620.

"Polis juga berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 39 dan 55 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. - Bernama