Dua maut nahas pesawat ringan bertembung di Australia

Dua maut selepas perlanggaran antara dua pesawat ringan di sebuah lapangan terbang di negeri Queensland, Australia pada Jumaat. - Gambar hiasan
Dua maut selepas perlanggaran antara dua pesawat ringan di sebuah lapangan terbang di negeri Queensland, Australia pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

BRISBANE - Polis di negeri Queensland, Australia pada Jumaat mengesahkan kematian dua orang selepas perlanggaran antara dua pesawat ringan di sebuah lapangan terbang.

Pegawai Polis Queensland, Paul Ready dalam sidang media berkata kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan pada Jumaat, berlaku perlanggaran antara kedua-dua pesawat di hujung timur Lapangan Terbang Caboolture, utara Brisbane, kata Xinhua.

"Pada masa ini, dua orang maut dalam sebuah pesawat yang sedang berlepas di hujung timur. Kami masih cuba mengesahkan identiti mangsa," kata Ready.

"Individu lain yang berada di dalam satu lagi pesawat sedang membantu polis ketika ini dengan penyiasat cuba mengenal pasti punca kejadian."

Menteri Polis Queensland, Mark Ryan memberitahu media kedua-dua pesawat itu bertembung "dekat dengan darat", yang mungkin disaksikan ramai orang, sambil menambah penumpang satu lagi pesawat secara relatifnya tidak cedera.

Menurut Polis Queensland, penyiasat berada di tempat kejadian bersama kru dari Ambulans Queensland serta Jabatan Bomba dan Penyelamat selain unit nahas forensik juga dipanggil untuk melakukan siasatan. - Bernama-Xinhua