PN diramal menang PRN di lima negeri – Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM- Perikatan Nasional (PN) diramal akan menang mudah 5-1 dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gabungan itu mempunyai potensi baik untuk mengekalkan kuasa di Kelantan, Terengganu, Kedah dan merampas Selangor serta Negeri Sembilan namun tidak dapat menembusi Pulau Pinang.

“Ia berdasarkan perubahan sentimen yang diperlihatkan daripada kalangan pengundi yang lanjut usia, khususnya orang Melayu di luar bandar.

“Sentimen pengundi Melayu kini tidak sama ketika berlangsungnya pilihan raya umum (PRU) yang lalu kerana kebanyakan mereka kini berasa curiga terhadap masa depan.

“Mereka lihat kedudukan (ekonomi) tidak berubah, masih miskin dan berasa tertekan. Tidak dapat petunjuk atau cadangan kerajaan, bagaimana untuk membawa kemajuan kepada mereka,” katanya sebagaimana dilaporkan media.

Beliau sebelum itu berucap pada Perhimpunan Hari Perniagaan Sosial Ke-13 di Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi, Kedah pada Jumaat.

Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan ada lambakan calon Bebas pada PRN di enam negeri, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ia memperlihatkan ada pihak yang cuba memperlekehkan proses pilihan raya jika ia benar-benar berlaku.

“Nampak pilihan raya ini macam main-main dan tak serius. Apa yang boleh dibuat individu yang menjadi calon Bebas? Saya nampak dia tak boleh buat apa pun.

“Cuma boleh pergi Parlimen dan bercakap, tapi tak ada kesan sama sekali kerana tidak mewakili suara ramai. Pilihan raya untuk membentuk kerajaan, bukan nak jadi wakil rakyat semata-mata,” ujarnya.