Henderson terima gaji RM4.07 juta seminggu

Jordan Henderson - Foto Facebook Al-Ettifaq
Jordan Henderson - Foto Facebook Al-Ettifaq
A
A
A

JORDAN Henderson menjadi pemain bola sepak Inggeris dengan gaji lumayan setanding dengan atlet sukan ternama dunia.

Pemain antarabangsa England itu telah meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool untuk menyertai Al-Ettifaq dengan nilai perpindahan £12 juta (RM69.8 juta).

Pemain berusia 33 tahun itu dilaporkan telah bersetuju menerima gaji lumayan bernilai £700,000 (RM4.07 juta) seminggu sekali gus meletakkannya sebagai pemain Inggeris dengan gaji paling mahal.

Status itu sebelum ini dipegang oleh pemain Manchester United, Marcus Rashford yang menerima gaji £375,000 (RM2.18 juta) dan Jadon Sancho yang dibayar £350,000 (RM2.03 juta) seminggu.

Sebelum ini, Henderson mengumumkan akan meninggalkan Liverpool selepas 12 tahun bersama kelab tersebut dan perkara itu disahkan The Reds dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui sedih dengan keputusan sukar yang dilakukan Henderson untuk berpindah, namun menerimanya dengan hati terbuka.

"Saya tahu ia adalah keputusan yang sangat sukar untuk Hendo dan saya berada bersamanya sepanjang dia berada di sini. Ia menyedihkan, benar-benar pelik, kerana dia adalah satu-satunya kapten yang saya ada di sini di Liverpool.

"Tetapi, saya fikir ia juga satu pengalaman menarik untuknya di sana. Kami akan merinduinya," katanya.