Seorang maut, tiga cedera nahas empat motosikal di LPT1

Mangsa maut di tempat kejadian selepas terbabit nahas melibatkan empat motosikal di Kilometer 191.5 LPT1 arah timur pada tengah malam Khamis. - Foto FB Polis Trafik Kuantan
Mangsa maut di tempat kejadian selepas terbabit nahas melibatkan empat motosikal di Kilometer 191.5 LPT1 arah timur pada tengah malam Khamis. - Foto FB Polis Trafik Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Seorang maut manakala tiga lagi cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan di Kilometer 191.5 Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1) arah timur di sini, tengah malam Khamis.

Dalam nahas kira-kira jam 11 malam itu, penunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR, Muhammad Zul Harif Aizil Mohd Zulazreen, 21, beralamat dari Bukit Kuin 2 di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tiga lagi penunggang berusia 20 hingga 22 tahun yang cedera menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Menurutnya, siasatan awal mendapati, semua penunggang yang menggunakan motosikal jenis Yamaha Y16ZR, Yamaha Y15ZR dan Yamaha LC135 dalam perjalanan dari arah Maran menghala ke Kuantan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang Muhammad Zul Harif Aizil dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum dilanggar tiga motosikal lain yang datang dari arah belakang.

"Ekoran kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.