RCI Wang Kelian memasuki hari ketujuh

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis bersambung hari ini yang memasuki hari ketujuh bersidang.

Ia diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini yang diubah suai seperti mahkamah.

Sepanjang enam hari prosiding sebelum in, 19 saksi telah memberi keterangan.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mempengerusikan RCI yang dianggotai tujuh anggota dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai sebagai timbalan pengerusinya.

Lima anggota panel RCI ialah bekas Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Noobahri Baharuddin; bekas Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail; bekas Ketua Penyelidik Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abd Rahman; bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Dr. Tan Seng Giaw.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

RCI, yang diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lepas, antara lain akan meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian. - Bernama

Artikel Berkaitan: