Bekas pegawai perisikan dakwa kerajaan AS sembunyikan UFO

Grusch (depan, tengah) semasa sesi pendengaran Jawatankuasa Kecil Pemantauan bertajuk "Fenomena Anomali Tidak Dikenali: Implikasi terhadap Keselamatan Negara, Keselamatan Awam dan Ketelusan Kerajaan" di Capitol Hill. - AFP
Grusch (depan, tengah) semasa sesi pendengaran Jawatankuasa Kecil Pemantauan bertajuk "Fenomena Anomali Tidak Dikenali: Implikasi terhadap Keselamatan Negara, Keselamatan Awam dan Ketelusan Kerajaan" di Capitol Hill. - AFP
A
A
A

WASHINGTON - Bekas pegawai perisikan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), David Grusch memberitahu Kongres bahawa kewujudan objek terbang tidak dikenali (UFO) sudah dirahsiakan oleh kerajaan AS menerusi beberapa agensi sejak 1930-an lagi.

Malah, David Grusch mengulangi dakwaannya bahawa kerajaan AS masih menyimpan bangkai UFO yang terhempas dengan mayat makhluk asing di dalamnya.

Grusch mendedahkan perkara tersebut semasa memberikan kenyataan bersumpah kepada Jawatankuasa Kecil Pemantauan Keselamatan Negara semasa sesi pendengaran Fenomena Anamoli Tidak Dikenali (UAP) di Kongres pada Rabu.

Dalam pendengaran itu, beberapa saksi turut melakukan kenyataan bersumpah melihat fenomena UAP ketika bertugas sebagai juruterbang USAF.

"Saya memutuskan untuk menjadi whistleblower berdasarkan data dan maklumat yang dikumpul sepanjang hampir 14 tahun dalam perisikan AS.

"Apa pun, saya tidak boleh mendedahkan secara terperinci mengenai UFO dalam pendengaran ini kerana maklumat yang ada sangat rahsia," ujarnya.

Pihak Pentagon mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Grusch dan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) telah memulakan kajian kewujudan UAP tahun lalu dengan laporkan akhir akan diterbitkan dalam masa terdekat.

Dalam laporan awal dikeluarkan ahli jawatankuasa mengatakan ramai saksi enggan memberikan kenyataan bersumpah kerana risau stigma negatif yang bakal diterima.

Fenomena UAP telah dilaporkan sejak dari zaman Yunani purba lagi dengan saintis mengatakan ia mungkin fenomena semula jadi seperti komet yang pada waktu tersebut belum difahami mereka. - AFP