Jangan sentuh isu 3R ketika berkempen PRN - Akmal

Muhammad Akmal
Muhammad Akmal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Calon-calon di kalangan sayap dan mantan Pemuda UMNO yang bakal bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini diingatkan supaya tidak menyentuh sentimen 3R (Royal, Race and Religion) ketika berkempen.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh berkata, semua calon pemuda dari parti apa sekalipun jangan terikut dengan politik tidak matang yang ditonjolkan sebelum ini.

Menurutnya, calon pemuda perlu memberikan imej yang baik dapat membawa perubahan politik yang dinamik dengan tidak memburukkan peribadi calon lain.

“Jangan buat rakyat jemu dengan perangai orang politik, jangan fitnah dan burukkan orang lain, pengundi menilai kepimpinan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut berkenaan 23 peratus calon Barisan Nasional (BN) dipilih dari kalangan Pemuda, Muhammad Akmal berkata, ia membuktikan keterbukaan parti itu terhadap bakat muda UMNO.

“Seramai 25 daripada 108 calon yang ditampilkan BN adalah di kalangan calon muda adalah langkah berani disulami semangat menawarkan yang terbaik dari kalangan terbaik kepada para pengundi,” ujarnya.

Jelasnya, walaupun pencalonan ditentukan oleh pucuk pimpinan, namun mandat yang diberikan datang daripada rakyat.

“Oleh itu, calon-calon BN dari Pemuda UMNO yang menang, perlu mencapai KPI diberikan demi menjalankan tanggungjawab sebagai ‘Yang Berkhidmat’.

“Penilaian berkala menerusi survei sentimen rakyat akan dijalankan untuk memantau prestasi calon yang menang.

Tambahnya lagi, kegagalan menepati KPI calon akan dipanggil, diberi amaran atau tindakan untuk diambil.

“Ketegasan terhadap pemimpin pemuda ini dituntut bagi membuktikan komitmen parti kepada rakyat dan sebagai mesej jelas bahawa gelaran Yang Berhormat (YB) adalah mesti menjadi Yang Berkhidmat terlebih dahulu,” ujarnya

Beliau dalam pada itu turut menjemput orang ramai untuk hadir pada pelancaran Program Geng Perpaduan (GP) pada Ahad, 30 Julai jam 8.00 malam di Strand Mall, Kota Damansara, Selangor.