Ustaz Sharir akui tugas berat pertahan DUN Pantai Merdeka

Sharir diumumkan sebagai calon PN pada Majlis Pengumuman calon di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar pada malam Rabu.
Sharir diumumkan sebagai calon PN pada Majlis Pengumuman calon di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar pada malam Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka, Sharir Long mengakui mengalas tugas berat untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kali ini.

Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Petani itu berkata, gelombang dan sokongan kepada PN jelas kelihatan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga ke PRN namun mereka masih perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan dapat diraih pada 12 Ogos depan.

"Bagi saya ini semua ketentuan ALLAH SWT. DUN Pantai Merdeka sebelum ini dimenangi wakil Pas dan menjadi tanggungjawab besar buat saya untuk mempertahankan DUN ini.

"Kami sudah lama membuat kerja dan bukan hanya tiba pada pilihanraya sahaja (baru buat kerja). Kerja sudah dibuat dan selebihnya sebagai orang Islam kita berserah kepada ALLAH SWT," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ujarnya yang dikenali sebagai Ustaz Sharir, kemenangan di DUN Pantai Merdeka perlu bagi membantu PN untuk menang besar pada PRN Kedah sekali gus dapat mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk sekali lagi membentuk kerajaan di negeri ini.

Pada PRU14, Fadzli Hashim dari Pas menang DUN Pantai Merdeka selepas meraih 14,133 undi bagi menewaskan Calon BN, Datuk Ali Yayaha (9,567 undi) dan calon PKR, Rosli Yusof (7,281 undi).

Sharir yang juga merupakan pendakwah bebas dan Pengerusi Tahfiz Mutmainnah bakal berdepan Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani, Wan Mohalina Wan Mohamad yang merupakan calon BN.

Beliau tidak asing dalam bidang politik kerana sebelum ini merupakan calon Pas Kedah bagi Parlimen Sungai Petani, pada PRU15, namun tewas dalam pertandingan empat penjuru.

Parlimen Sungai Petani menjadi milik calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Johari Abdul yang memperoleh 45,532 undi manakala calon BN, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff (23,963 undi), Sharir (22,760 undi) dan P. Sritharan dari Parti Rakyat Malaysia pula hilang deposit kerana sekadar mendapat 279 undi.