Mangsa simbahan asid terharu, parut di muka makin pulih

Nurul Dahyatul Fazlinda (tengah) ditemani ibunya ketika sidang akhbar diadakan oleh Teresa (kanan) pada Khamis.
Nurul Dahyatul Fazlinda (tengah) ditemani ibunya ketika sidang akhbar diadakan oleh Teresa (kanan) pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Derita seorang wanita kesan simbahan asid oleh bapanya 13 tahun lalu sedikit pulih selepas mendapat tajaan rawatan dari sebuah klinik swasta.

Kejadian malang itu berlaku pada 2010 apabila Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 21, yang ketika itu berusia lapan tahun terkena simbahan asid sewaktu meleraikan pergaduhan ibu bapanya di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Terengganu.

Dia alami cedera parah pada bahagian muka dan mata, manakala adiknya, Mohd Irfan yang kini berusia 15 tahun dan ibu mereka, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 41, turut mengalami kecederaan.

Ekoran kejadian itu, Nurul Dahyatul Fazlinda menerima rawatan selama tiga bulan di hospital selain rawatan susulan selama beberapa tahun, bagaimanapun dia tidak meneruskan rawatan tersebut selepas menghadapi masalah pengangkutan.

Nurul Dahyatul Fazlinda berkata, dia terharu ada pihak sudi membantu menghilangkan kesan parut di muka.

"Saya terharu, selama 13 tahun tak pernah terfikir ada orang akan bantu saya.

"Kalau dahulu apabila demam atau selesema, saya tak boleh bernafas melalui hidung tetapi selepas jalani dua kali rawatan, keadaan saya semakin baik," katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada Khamis.

Anak kedua daripada sembilan beradik itu berkata, simbahan asid itu juga menyebabkan dia tidak boleh kerap berpeluh atau terdedah cuaca terlalu panas kerana akan menyebabkan kulitnya menjadi gatal.

Katanya, walaupun ada beberapa ketika merasa kesakitan ketika menjalani rawatan, namun dia gembira melihat hasilnya.

“Untuk rawatan laser tidak sakit tetapi tetapi masa suntikan ada rasa sakit sikit, namun berpuas hati dengan hasilnya.

“Kesan parut di wajah saya yang agak tebal kini semakin menipis. Ada juga kesan parut yang mula hilang, " katanya.

Tambah Nurul Dahyatul Fazlinda, dia tidak menyimpan dendam terhadap ayahnya yang telah menjalani hukuman tujuh penjara dan sembilan sebatan susulan kejadian itu.

Nurul Dahyatul Fazlinda
Nurul Dahyatul Fazlinda

"Dari awal saya kena, saya memang tidak simpan dendam kerana dia ayah kandung saya, buruk macam mana sekali pun dia tetap darah daging saya.

"Setiap manusia tak lari dari membuat kesilapan, saya kena reda. Ini mungkin ujian yang ALLAH SWT beri dan saya kena terima dengan hati terbuka," katanya.

Ditanya mengenai harapan, Nurul Dahyatul Fazlinda bercadang mahu mengembangkan perniagaan makanan yang diusahakan bersama ibunya dengan mengikuti kelas kemahiran untuk menambah pengetahuan.

Sementara itu, Teresa berkata, pihaknya telah menghubungi beberapa kenalan doktor selepas mengetahui kisah Nurul Dahyatul Fazlinda yang dilaporkan media baru-baru ini.

Menurutnya, sebuah klinik swasta di Bangsar bersedia membantu dengan menaja kos rawatan wanita berkenaan.

Tambah Teresa, Nurul Dahyatul Fazlinda perlu menjalani 10 sesi rawatan yang anggaran kos bernilai RM20,000, manakala Pusat Khidmat Seputeh akan menanggung kos perjalanan dan penginapan sepanjang rawatan itu.

"Apabila baca berita Nurul Dahyatul Fazlinda, saya rasa sedih kerana sebagai wanita kita sangat mementingkan kecantikan. Jadi saya hubungi beberapa doktor yang saya kenal untuk membantunya.

"Dia kini telah menjalani dua rawatan. Saya lihat ada perubahan pada mukanya yang nampak lebih ceria berbanding sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, doktor memberi jaminan sekurang-kurangnya kesan parut tersebut akan pulih sebanyak 50 peratus.

Pada masa sama, Teresa akan cuba membantu wanita itu menyambung pengajian di peringkat vokasional atau kursus jangka pendek untuk membolehkannya menimba ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan.