Lebih 800 struktur musnah di Genting Gaza

Antara struktur yang musnah di wilayah Gaza akibat dibedil rejim Zionis.
Antara struktur yang musnah di wilayah Gaza akibat dibedil rejim Zionis.
A
A
A

GENTING GAZA - PALESTIN. Timbalan Menteri Perumahan di Gaza Naji Sarhan berkata 130 apartmen musnah manakala 700 lagi separa musnah dalam serangan dilancarkan Israel ke atas wilayah itu sejak minggu lalu.

Menurutnya, kakitangan kecemasan kementerian terbabit telah mula melakukan penilaian ke atas bangunan yang menjadi sasaran bedilan operasi ketenteraan rejim Zionis terbabit.

Sarhan turut mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel terhadap orang awam dan beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya campur tangan untuk menghentikan perbuatan rejim Zionis yang menyasarkan bangunan sivik yang dilindungi undang-undang dan konvensyen antarabangsa.

Selain itu, beliau juga merayu dana untuk membantu keluarga yang terjejas memulihkan atau membina semula kediaman mereka.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan Palestin kelmarin memaklumkan jumlah kematian di wilayah Gaza telah meningkat kepada 27 orang selepas penemuan dua lagi mayat mangsa di bawah sisa runtuhan bangunan.

Mangsa dikenali sebagai Talal Abu al-Jidian, 48, dan isterinya, Raghda Mohammed Abu al-Jidian, 40. Pasangan suami isteri itu turut kehilangan anak lelaki, Abdul Rahman al-Jidian, 12, yang mana mayatnya ditemukan beberapa jam sebelum itu. Situasi di wilayah Gaza kembali tenang selepas kedua-dua pihak bertelagah, Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata sementara yang ditaja Mesir dan PBB berkuatkuasa pagi kelmarin.

Pada Julai 2014, Perang 50 hari yang dilancarkan rejim Zionis ke atas Genting Gaza telah meragut lebih 2,200 nyawa penduduk Palestin. - Agensi

Artikel Berkaitan: