Peniaga rugi RM1juta barang kemas dilarikan

Polis menjalankan pemeriksaan di pintu belakang kedai emas yang dipecah masuk tiga suspek pada Rabu.
Polis menjalankan pemeriksaan di pintu belakang kedai emas yang dipecah masuk tiga suspek pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Pemilik kedai emas di Taman Pusat Perdagangan, Tanjung Rambutan di sini, kerugian dianggarkan RM1 juta selepas barangan kemas yang disimpan 'licin' dilarikan penjenayah dalam kejadian pecah masuk awal pagi Rabu.

Kejadian itu disedari dua pekerja yang baharu memulakan operasi kedai emas sekitar jam 10 pagi.

Menurut pekerja dikenali sebagai Nina, 26, dia terkejut apabila pintu belakang premis mempunyai kesan diumpil dan bertindak menghubungi majikannya serta pihak polis.

"Sebelum tutup kedai semalam (Selasa) kami menyimpan semua barang kemas seperti cincin, gelang tangan, rantai leher, subang dan rantai kaki disimpan dalam peti besi.

"Pagi ini, semasa buka premis kami terbau sesuatu yang pelik seperti besi hangit. Apabila diperiksa peti besi berkenaan ada kesan dibuka dan semua dulang mempunyai barang emas telah kosong," katanya ketika ditemui di sini.

Polis menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk di kawasan kebun berhampiran premis kedai emas bagi melengkapkan siasatan.
Polis menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk di kawasan kebun berhampiran premis kedai emas bagi melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku antara jam 1 hingga 3 pagi itu didalangi oleh tiga lelaki.

"Suspek memecah masuk kedai melalui pintu belakang sebelum membuka peti besi simpanan emas dengan menggunakan peralatan dipercayai mesin 'grinder'.

"Suspek melarikan tiga kilogram barang kemas dengan nilai pasaran sekitar RM1 juta," katanya.

Tambah beliau, tiga suspek berkenaan yang memakai topeng muka ketika kejadian sedang dikesan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai dan curi.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508," katanya.