Lelaki didenda RM7,000 hantar video lucah kepada bekas kekasih

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BANDAR PERMAISURI - Seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Setiu di sini, pada Rabu selepas mengaku bersalah melakukan hantaran video lucah kepada bekas teman wanitanya tahun lepas.

Hakim Ahmad Fadhli Mahmud menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Iqyyum Basri, 25, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksima setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Iqyyum didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain menggunakan aplikasi WhatsApp.

Video itu kemudiannya dilihat pada 8 Mac 2022, jam 8.24 malam di Guntong di sini.

Hakim turut memerintahkan supaya tertuduh yang berasal dari Senawang, Negeri Sembilan dipenjara tiga bulan jika tidak membayar denda dikenakan, namun tertuduh membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Siti Hajar Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama