Kecam tindakan bakar, rosakkan papan iklan Malaysia Madani

Papan iklan Malaysia Madani dibakar dan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab di Batu Arang dan Saujana Rawang. Gambar kecil: Wei Kiat
Papan iklan Malaysia Madani dibakar dan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab di Batu Arang dan Saujana Rawang. Gambar kecil: Wei Kiat
A
A
A

RAWANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rawang mengecam perbuatan membakar dan merosakkan papan iklan Malaysia Madani yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Arang dan Saujana Rawang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, kejadian dikesan pada Selasa di Batu Arang manakala Saujana Rawang, minggu lepas.

Wei Kiat yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Rawang, menolak penggunaan vandalisme dan kekerasan sebagai medium menyampaikan pendapat.

"Kami percaya dalam demokrasi yang beradab, yang melibatkan dialog dan pemahaman, kita harus bekerja bersama untuk mencapai perubahan yang positif tanpa merosakkan harta benda atau mengancam keselamatan orang lain," katanya pada Rabu.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada Selasa untuk tindakan lanjut daripada pihak berwajib.

Ujarnya, sebanyak 20 papan iklan Malaysia Madani telah dipasang di kawasan Rawang sejak dua minggu lalu.