MPHS kesal kejadian vandalisme berulang di Taman Awam Seroja

Keadaan dalam tandas yang rosak teruk dan pintu tandas belubang akibat perbuatan vandalisme
Keadaan dalam tandas yang rosak teruk dan pintu tandas belubang akibat perbuatan vandalisme
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) kesal dengan sikap pengunjung yang berulang kali melakukan vandalisme di Taman Awam Seroja, Bukit Sentosa dekat sini.

MPHS memaklumkan, tindakan umpama lempar batu sembunyi tangan itu telah menyebabkan kemudahan awam di kawasan terbabit mengalami kerosakan teruk seperti pintu tandas tercabut dan berlubang.

Menurut MPHS, gelongsor taman permainan juga turut rosak disebabkan kegiatan laku musnah tersebut.

"Perbuatan ini amat membahayakan pengguna dan boleh mendatangkan kecederaan terutamanya kanak-kanak.

"Bukan sahaja kemudahan yang rosak, malahan pokok yang ditanam MPHS turut dicabut dan hilang daripada lokasi penanaman," katanya dalam satu kenyataan dikongsikan di Facebook.

Ujar kenyataan itu, MPHS tidak lagi boleh berkompromi dengan perbuatan tersebut dan meminta orang awam membantu mengesan pelaku.

"Sekiranya terdapat individu yang telah menyaksikan kegiatan ini berlaku, sila laporkan segera kepada Jabatan Landskap MPHS.

"Laporan polis juga telah dibuat kerana perbuatan ini secara tidak langsung merosakkan aset dan kemudahan awam.

"Pelaku boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme (MDHS) 2005. Awas! anda sedang diperhatikan!," katanya.