Penantian dua dekad, Tyzo hargai sokongan peminat

Tyzo terkilan arwah ibu tidak sempat menyaksikan kajayaan yang diraih. Foto: Suria FM
Tyzo terkilan arwah ibu tidak sempat menyaksikan kajayaan yang diraih. Foto: Suria FM
A
A
A

BIARPUN sudah beberapa hari Anugerah Bintang Popular (ABPBH35), melabuhkan tirainya, penyampai radio Suria FM, Tyzo Xander masih lagi tidak putus menerima ucapan tahniah peminat yang turut meraikan kejayaannya pada acara berprestij itu.

Apatah lagi Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zulkarnain dinobatkan sebagai Penyampai Radio Popular selepas 20 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air.

Menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu sejarah manis buat dirinya, penyampai radio kelahiran Ipoh, Perak itu tidak putus meluahkan rasa syukur dan terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh peminat.

“Anugerah yang diterima ini sangat besar maknanya dalam kamus perjalanan karier saya sebagai seorang penyampai radio.

“Saya sangat bersyukur kerana ini merupakan kali pertama saya menggenggam trofi Penyampai Radio Popular selepas 20 tahun berada dalam industri ini.

“Setelah pelbagai suka yang saya lalui sepanjang menjadi anak seni, akhirnya berpeluang merasai pengalaman indah di pentas anugerah berprestij seperti ABPBH dan saya sangat berbesar hati,” ujarnya yang kali pertama tercalon sebagai Top 5.

Tyzo yang mengendalikan slot Suria Petang bersama Sharifah Shahirah turut merakamkan ucapan terima kasih semua penyokong yang sentiasa mendengar celotehnya setiap hari Isnin hingga Jumaat, sekali gus menghargai kerja serta bakatnya selama ini.

Gandingan dan keserasian mereka berdua sering menjadi bualan sehingga slot petang itu sentiasa gamat dengan celoteh mereka, selain penyertaan daripada pendengar yang aktif memberikan sokongan.

“Kemenangan ini adalah hadiah buat peminat dan pendengar Suria FM khususnya bagi segmen Suria Petang. Saya percaya ramai pendengar yang menyukai gandingan saya dan Sharifah Shahirah.

“Menerusi kejayaan dan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan berusaha memberikan yang terbaik kepada para pendengar,” katanya.

Bukan hanya pendengar, Tyzo juga sentiasa mendapat sokongan padu daripada barisan penyampai Suria termasuk DJ Lin yang turut tercalon dalam kategori sama.

Kejayaan DJ Lin yang pernah memenangi Penyampai Radio Popular selama tiga tahun berturut-turut itu turut menjadi inspirasi buatnya untuk terus melangkah ke depan.

Pun begitu, Tyzo turut meluahkan rasa sedih dan terkilan apabila Allahyarham ibunya, Hasnah Shaari tidak berpeluang melihat kejayaan tersebut apabila menghembuskan nafas terakhir pada awal tahun lalu.

“Saya sedih kerana arwah ibu tidak dapat melihat saya menggenggam trofi Penyampai Radio Popular ini.

“Arwah sentiasa mendengar saya ketika ke udara dan tidak pernah berhenti menyuntik semangat untuk terus memberikan yang terbaik buat pendengar,” katanya.