Ringgit pulih, ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS

Ringgit meningkat kembali berbanding dolar AS untuk ditutup tinggi sedikit pada Selasa. - Foto Bernama
Ringgit meningkat kembali berbanding dolar AS untuk ditutup tinggi sedikit pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

RINGGIT meningkat kembali berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup tinggi sedikit pada Selasa selepas mengalami penurunan lima hari berturut-turut, disokong tindakan People's Bank of China yang memulihkan yuan untuk lebih kukuh, manakala prospek lebih banyak rangsangan dasar di China juga menjadi petanda baik bagi pengeksport seperti Malaysia.

Pada jam 6 petang, unit tempatan meningkat sedikit kepada 4.5615/5650 berbanding dolar AS, daripada 4.5640/5690 ketika ditutup pada Isnin.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, harga minyak mentah yang lebih tinggi juga mendorong peningkatan nilai mata wang tempatan namun, pergerakan naik ringgit sudah pasti dipacu oleh jangkaan pasaran mengenai rangsangan dasar oleh China.

"Walau bagaimanapun, unit tempatan masih dikekang oleh dolar AS yang secara amnya lebih kukuh di G-10 memandangkan hasil Perbendaharaan AS meningkat menjelang kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Negara G-10 ialah Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Netherlands, Sweden, Switzerland, United Kingdom dan AS.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yakin pasaran masih berhati-hati berhubung penilaian ekonomi terkini oleh Fed, terutama selepas kadar inflasi keseluruhan AS turun kepada tiga peratus pada Jun.

"Jika Fed kekal dengan pendirian untuk kadar faedah tinggi, risiko negatif terhadap ringgit boleh kekal bagi jangka masa terdekat,” katanya.

Dagangan hari ni menyaksikan unit tempatan diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 5.0368/0407 daripada 5.0578/0634 ketika ditutup pada Isnin serta lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.2266/2293 daripada 3.2307/2345 semalam.

Walau bagaimanapun, ringgit diniagakan hampir mendatar berbanding pound British pada 5.8547/8592 daripada 5.8556/8620.

Mata wang tempatan didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean lain.

Ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 8.36/8.37 daripada 8.35/8.37 ketika ditutup pada Isnin serta rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 304.0/304.5 daripada 303.6/304.2.

Unit domestik juga turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4325/4354 daripada 3.4287/4328 namun, meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2148/2300 daripada 13.2417/2623 semalam. - Bernama