PRN: Lima Exco Pulau Pinang digugurkan, Guan Eng, Kon Yeow kekal

Kesemua calon DAP Pulau Pinang bergambar bersama Anthony (enam dari kanan) dan beberapa pemimpin DAP Pusat.
Kesemua calon DAP Pulau Pinang bergambar bersama Anthony (enam dari kanan) dan beberapa pemimpin DAP Pusat.
A
A
A

GEORGETOWN - [KEMAS KINI] Lima Exco Kerajaan Pulau Pinang dari DAP digugurkan daripada senarai calon untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

Mereka ialah Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Timbalan Ketua Menteri II yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, P Ramasamy.

Boon Poh merupakan penyandang kerusi Sungai Puyu; Chong Eng (Padang Lalang); Lip Chee (Bagan Jermal), Soon Hin (Paya Terubong) dan Ramasamy (Perai).

Kerusi milik kesemua penyandang telah diisi oleh calon baharu kecuali Padang Lalang yang diisi oleh Daniel Gooi Zi Sen yang merupakan penyandang kerusi bagi Pengkalan Kota.

Bagi kerusi Paya Terubong yang disandang Soon Hin pula, ia diganti oleh bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Sementara itu, kerusi yang disandang Boon Poh diganti oleh anak perempuannya, Phee Syn Tze, Lip Chee diganti Chee Yeeh Keen dan Ramasamy diganti S Sundarajoo manakala kerusi Daniel Gooi diisi Wong Yuee Harng.

Bagi kerusi Bagan Dalam yang sebelum ini disandang M Satees diganti K Kumaran, Chis Lee Chun Kit (Pulau Tikus) diganti Woo Sze Zeng manakala Seri Delima yang sebelum ini disandang Syerleena Abdul Rashid diganti oleh Tan Hooi Peng.

Syerleena kini merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Dalam pada itu, DAP mengekalkan 10 penyandang kerusi pada PRN ini iaitu Lim Guan Eng (Air Putih); Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah); Heng Lee Lee (Berapit); Jason H'ng Mooi Lye (Jawi); Chow Kon Yeow (Padang Kota); Teh Lai Heng (Komtar); Jagdeep Singh Deo (Datuk Keramat); Lim Siew Khim (Sungai Pinang), Oh Ah Teong (Batu Lanchang) dan Joseph Ng Soon Siang (Air Itam).

Kesemua nama calon tersebut diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam Majlis Pengumuman Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah untuk PRN Ke-15 di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Selain calon bagi Pulau Pinang, Anthony turut mengumumkan dua calon DAP yang akan bertanding di Kedah.

Mereka adalah Teh Swee Leong bagi kerusi Kota Darulaman dan Tan Kok Yew (Derga)

Dalam ucapannya, Anthony meminta agar semua calon bekerja kuat dalam siri kempen dan sentiasa merendah diri bagi memastikan rakyat memberi kemenangan kepada DAP.

Kata beliau, sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang di Pulau Pinang, masa depan rakyat di negeri akan terjamin berikutan kerajaan negeri selaras dengan kerajaan Pusat.

"Dalam siri kempen ini, kita akan bentang segala prestasi dan rekod yang selama ini kita lakukan supaya rakyat boleh buat satu penilaian. Saya yakin mereka akan terus beri mandat kepada kita untuk perintah Pulau Pinang.

"Saya mahu semua jentera dan kekuatan parti disatukan supaya DAP mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan sebarang cabaran.

"Kita mesti memastikan rekod DAP kekal dengan 19 kerusi pada PRN kali ini, ini indeks petunjuk prestasi (KPI) kita sejak 2008 yang mana DAP tidak pernah menang kurang daripada 19 kerusi. Kita mesti menang kesemua 19 kerusi ini," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyandang yang tidak dipilih dalam PRN kali ini di atas jasa mereka sejak 2018.