Koperal, konstabel direman terima suapan RM3,000

Ketiga-tiga anggota polis dari Balai Polis Bukit Mertajam direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Ketiga-tiga anggota polis dari Balai Polis Bukit Mertajam direman tiga hari bagi membantu siasatan.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua koperal dan seorang konstabel yang bertugas di salah sebuah balai polis, di sini direman tiga hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah wang bernilai RM3,000 daripada seorang lelaki.

Kesemua mereka yang berusia 20, 36 dan 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada jam 7.25 malam Isnin.

Ketiga-tiga anggota polis itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Berapit, Mengkuang, Bukit Mertajam pada jam 7.15 malam, 20 Julai lalu.

Mereka yang menaiki kereta peronda polis jenis Honda Civic telah menahan seorang lelaki untuk membuat pemeriksaan pada motosikal yang dinaikinya.

Pemeriksaan mendapati, cukai jalan motosikal lelaki tersebut tamat tempoh selain dia turut memiliki sebungkus air ketum serta beberapa kotak rokok.

Bagaimanapun, mereka bertiga disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM3,000 daripada individu tersebut sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukannya.

Susulan itu, kesemua anggota polis terbabit direman sehingga 27 Julai ini.

Kesemua anggota berkenaan tidak diwakili peguam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun di Mahkamah Majistret Georgetown selepas permohonan reman dilakukan SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.