Lelaki menyamar pegawai kanan SPRM minta rasuah direman

Suspek (tengah) berusia 29 tahun itu direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Suspek (tengah) berusia 29 tahun itu direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyamaran sebagai pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta rasuah untuk menyelesaikan kes siasatan.

Menurut SPRM Sabah, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan SPRM dari ibu pejabat yang masih belum dikenali telah meminta wang rasuah dan sumbangan daripada beberapa anggota polis Sabah.

Wang itu adalah sebagai balasan untuk menyelesaikan kes-kes dalam siasatan SPRM.

Perintah reman terhadap suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Lovely Natasha Charles di Mahkamah Majistret 1 Kota Kinabalu pada Isnin.

Mahkamah menetapkan perintah reman terhadap suspek bermula Isnin hingga Sabtu ini.

Suspek yang hadir ke mahkamah dengan berpakaian lokap SPRM dilihat dalam keadaan tangan bergari dan diwakili oleh barisan peguamnya, Muhammad Amirul Amin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah serta Khairudin Noordin.

SPRM Sabah dalam kenyataannya pada Ahad turut memaklumkan berjaya menumpaskan satu sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan SPRM dan Menteri Dalam Negeri yang dipercayai mengunakan modus operandi menyelesaikan kes yang disiasat agensi penguat kuasa.

Sindiket yang didalangi tujuh individu tempatan itu dipercayai telah menipu mangsa sehingga menyebabkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.