Mendoza tak sangka Hong Wan rembat jarak jauh

Mendoza - Foto: FB KL City FC
Mendoza - Foto: FB KL City FC
A
A
A

“SAYA tidak menyangka (Nathaniel Shio) Hong Wan akan merembat dari jauh kerana kebiasannya dia bukan begitu."

Itu reaksi penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Kevin Ray Mendoza Hansen terhadap percubaan berkualiti jarak jauh pemain tengah penyandang juara Piala FA, Johor Darul Ta'zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan berjaya menewaskannya yang sebelum itu cemerlang menafikan asakan bertali arus daripada rangkaian serangan JDT.

“Ya, ia satu perlawanan yang sukar kerana JDT semua tahu merupakan sebuah pasukan yang bagus tetapi secara keseluruhan kami bermain baik sepanjang 65 minit.

"Biarpun kami bermain dengan corak bertahan namun kami tetap mencipta beberapa peluang menjaringkan gol terutamanya pada separuh masa pertama dan jika ia berjaya disempurnakan, saya percaya keputusan perlawanan akan berbeza. Namun ia tidak mencukupi dan sudah tentu saya sedih.

“Namun percubaan jarak jauh Hong Wan juga menyebabkan kami terperanjat kerana percubaan sedemikian jarang berlaku, namun ia satu jaringan yang cukup baik,” kata benteng terakhir skuad The City Boys itu.

Untuk rekod, Mendoza antara watak penting kepada skuad The City Boys itu pada aksi final Piala FA 2023 apabila beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya jentera serangan JDT sebelum akhirnya 'bolos' sebanyak dua kali pada separuh masa hasil rembatan cantik Hong Wan minit ke-66 disusuli jaringan Leandro Velasquez (m-74) bagi melengkapkan malam gemilang skuad Harimau Selatan itu.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari itu berjaya mempertahankan trofi Piala FA yang dimenangi ketika menewaskan Terengganu FC (TFC), 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, musim lalu.

Sementara itu, Mendoza mengakui tetap berbangga dengan komitmen dan prestasi yang dipamerkan kesebelasan skuad warga kota itu terutamanya di benteng pertahanan yang disifatkannya cukup cemerlang di sepanjang perlawanan.

“Saya juga gembira dengan persembahan saya meskipun tewas, namun sebenarnya pujian kepada barisan pertahanan dan berterima kasih kepada mereka yang telah beraksi dengan sangat baik.

“Ya, kami kurang bernasib baik untuk gol kedua JDT, namun saya tidak memarahi bahagian pertahanan cuma apabila ketinggalan 0-2, ia sudah pasti merosakkan ‘mood’ anda,” katanya.