Remaja antara saki-baki kumpulan ajaran sesat 'Si Hulk'

Laporan Sinar Harian pada 15 Jun lalu
Laporan Sinar Harian pada 15 Jun lalu
A
A
A

MELAKA - Saki Baki ahli kumpulan ajaran sesat 'Si Hulk' membabitkan kumpulan remaja dipercayai masih aktif bergerak termasuk melalui media sosial.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, pihaknya memandang serius kewujudan ajaran sesat berkenaan dan pemantauan sedang dijalankan termasuk penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Menurutnya, maklumat berkenaan diterima selepas dimaklumkan keluarga mereka sendiri mengenai penglibatan anak-anak atau suaminya dalam ajaran sesat Si Hulk.

"Kita sedang memantau beberapa pengikut remaja dan dewasa di media sosial selepas dilaporkan keluarga mereka.

"Saya tak boleh sebut jumlahnya, namun mereka ini masih aktif dan masih dalam siasatan JAIM kerana rantaian mereka ini bersifat 'underground' yang tidak dizahirkan tapi kita perlu selidik untuk kesan ajaran itu," katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas program Melaka Munajat Bersama Tuan Guru Abdul Somad di Dataran Sejarah di Ayer Keroh di sini, pada malam Khamis.

Program sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dengan dibanjiri kira-kira 50,000 umat Islam dari seluruh negara.

Jelas beliau, kerajaan negeri dan JAIM dalam proses mewartakan ajaran Si Hulk atau atau Suhaini Bin Mohammad yang menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan Islam.

Sinar Harian pada 15 Jun lalu, melaporkan JAIM menahan seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat diasaskan Suhaini Mohammad yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan mengatakan baginda adalah ALLAH.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di daerah Jasin kira-kira jam 8.30 malam.

Menurutnya, ketika serbuan terdapat isteri dan tiga orang anaknya dalam rumah tersebut dan individu itu turut mengakui sedang membuat persiapan untuk berangkat ke New Zealand pada Selasa lalu untuk bersama pengasas kumpulan terbabit.

Katanya, siasatan awal juga mendapati individu berasal dari Jasin itu sanggup berhenti kerja di Melaka dan mahu meninggalkan tanah air untuk berhijrah serta mencari pekerjaan di negara tersebut demi bersama Suhaini Mohammad atau lebih dikenali 'si hulk.'